Sunnah Berbekam

Berbekam sunnah

Amalkan Bekam Sunnah, Selamat & Berkat. 

In Syaa Allah ...


Bekam merupakan amalan yang pernah dilakukan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W semasa hayat baginda. Ulama telah membuat kajian terperinci berkenaan amalan berbekam ini dengan berpandukan hadis-hadis sahih. Ulama Islam telah menganjurkan umat Islam supaya melakukan amalan berbekam ini sebagai amalan yang mendapat pahala bagi yang mengamalkannya, malahan ia diredhai oleh Allah SWT.

Rawatan bekam adalah kaedah paling unggul dan sangat berkesan untuk mencegah dan mengatasi pelbagai jenis penyakit. Bekam merupakan rawatan pencegahan (PreventiveMedicine) dan juga sangat efektif untuk rawatan penyembuhan (CurativeMedicine). Ianya bukanlah perubatan alternatif, tetapi merupakan perubatan berdasarkan wahyu (Sunnah Rasul), maka ia mempunyai satu hikmah yang luar biasa dari sisi khasiatnya dan yang menyembuhkannya tetap Allah SWT.

Marilah kita beramal dengan berbekam sunnah. Kembalilah kepada rawatan Islam yang sebenar. Sesungguhnya amalan bekam sunnah mempunyai banyak nas-nas sahih berdasarkan hadis-hadis Nabi. Biarlah kita beramal sesuatu yang mempunyai sandaran yang kukuh iaitu tidak lain dan tidak bukan daripada seorang insan yang kamil lagi siddiq, Nabi Muhammad S.A.W melalui hadis-hadis baginda. Janganlah kita berbuat sesuatu amalan dalam hal berubat tanpa ada sandaran yang benar (sahih).

Sebagai umat Islam, sesungguhnya saya amat berbangga menjadi umat Baginda Nabi Muhammad S.A.W dan beramal dengan sunnah-sunnah baginda diantaranya adalah Bekam Sunnah. Kita seharusnya menegakkan sunnah-sunnah Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Jadikanlah amalan bekam sunnah sebagai amalan kita. Ia paling baik dilakukan pada setiap bulan sekali.

Bekam , Cara Perubatan Terbaik.


Dari Jabir RA, bahawa ada seorang wanita Yahudi dari penduduk Khaibar memasukkan racun ke dalam daging domba yang dipanggang, lalu menghadiahkannya kepada Rasulullah S.A.W. Baginda mengambil bahagian kaki dan memakan sebahagian darinya. Beberapa orang sahabat yang bersamanya juga ikut memakannya. Sebahagian sahabat yang terlanjur memakannya ada yang meninggal. Lalu Rasulullah S.A.W melakukan rawatan bekam di bahagian dahinya karana daging yang terlanjur dimakan oleh baginda. Sahabat yang merawatnya adalah Abu Hindun, dengan menggunakan tulang tanduk dan mata pisau.

Untuk mengekalkan kesihatan rohani dan jasmani, Rasulullah S.A.W mengajar berbagai teknik pengubatan atau terapi. Sebagaimana terdapat dalam Sahih Bukhari dari Said Ibnu Jabir RA dari Ibnu Abbas RA, bahawa Rasululllah S.A.W bersabda, “Kesembuhan itu ada dalam tiga hal, iaitu dalam manisan madu, rawatan bekam atau sedutan api, namun aku melarang umatku melakukan sedutan api.”

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika pada sesuatu yang kamu gunakan untuk berubat itu terdapat kebaikan, maka hal itu adalah bekam.” (HR. Ibnu Majah, Abu Dawud)